Kenduri-kendara, Jangan Sampai Perut Merana.
Pernahkah anda mendengar keluhan sebegini? “Ish! Seriklah aku makan kenduri kat rumah dia tu. Merana perut aku kena cirit-birit dan muntah-muntah!” Cirit-birit dan muntah-muntah adalah antara tanda-tanda keracunan makanan.
Sama ada anda sebagai penganjur majlis atau sebagai tetamu, anda tentu tidak ingin kejadian keracunan makanan berlaku dalam mana-mana majlis kenduri.
Justeru, artikel ini menyediakan panduan mudah untuk mencegah kejadian keracunan makanan dalam majlis kenduri-kendara untuk penganjur majlis dan tetamu.
PANDUAN UNTUK PENGANJUR MAJLIS
1. Jika menggunakan khidmat syarikat KATERER :
a) Pastikan premis berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
• Di bawah Jadual Pertama (Peraturan 3), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua premis katerer mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
(Nota : Anda digalakkan menyenaraikan beberapa calon syarikat katerer terlebih dahulu dan pastikan ini adalah kriteria pertama yang anda nilai dalam memilih calon syarikat katerer).
b) Dapatkan status tahap kebersihan premis.
• Setelah mengenal pasti bahawa premis calon syarikat katerer tersebut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan, semak status tahap kebersihan premis tersebut dengan Pejabat Kesihatan di mana premis tersebut berada.
• Pilih premis yang mempunyai markah penilaian tahap kebersihan paling tinggi.
c) Pantau pengendalian makanan semasa majlis berlangsung.
• Pastikan makanan diangkut dengan kenderaan yang bersih.
• Pastikan stok makanan tidak diletak di atas lantai.
• Pastikan makanan sentiasa dihidang dalam keadaan panas.
• Pastikan makanan dihidang dalam bekas yang bersih dan bertutup.
• Pastikan pengendali makanan memakai pakaian yang bersih serta memakai pakaian pelindung seperti ;
o apron,
o penutup kepala, dan
o kasut.
• Pastikan pengendali makanan menggunakan kain lap khusus untuk kegunaan yang berbeza. Contoh :
o kain lap warna kuning untuk lap meja,
o kain lap warna putih untuk lap pinggan.
• Pastikan pengendali makanan sentiasa membasuh tangan selepas mengendalikan sampah atau benda yang kotor.
• Pastikan peralatan yang digunakan untuk mengendalikan makanan adalah bersih.
• Pastikan pengendali makanan tidak mengamalkan tabiat buruk seperti ;
o merokok,
o meludah merata-rata, dan sebagainya.
• Pastikan pengendali makanan tidak menyentuh makanan dengan tangansecara langsung.
• Pastikan perkakas seperti pinggan mangkuk dibasuh dengan bersihsebelum digunakan semula.
• Pastikan kemudahan pembuangan sisa makanan disediakan oleh syarikat katerer.
2. Jika makanan disediakan SENDIRI :
a) Pemilihan bahan mentah
• Pilih bahan mentah yang segar dan berkualiti.
• Jika menggunakan ramuan dalam tin, pastikan tin masih berkeadaan elok;
o tidak kemek,
o tidak kembung,
o tidak berkarat.
• Pilih ramuan yang belum luput tarikh, jika berkenaan.
b) Penyediaan bahan mentah
• Disediakan di tempat yang bersih.
• Gunakan peralatan / perkakas yang ;
o bersih,
o tidak berkarat,
o mudah dicuci.
• Tempat penyediaan bahan mentah hendaklah berasingan dari tempat memasak/ penyediaan makanan yang tidak dimasak.
• Bahan dibasuh menggunakan bekalan air yang bersih dan selamat.
• Sisa bahan mentah dibuang dalam bekas yang bertutup.
c) Memasak
• Gunakan peralatan / perkakas yang ;
o bersih,
o tidak berkarat, dan
o mudah dicuci.
• Gunakan peralatan / perkakas yang berasingan daripada peralatan / perkakas yang digunakan untuk mengendalikan bahan mentah.
• Elakkan memasak makanan terlalu awal.
(Nota : Bilangan kuman dalam makanan akan meningkat seiring dengan pertambahan masa selepas ia dimasak).
• Pastikan makanan dimasak secukupnya.
d) Menghidang makanan
• Pastikan makanan dihidang dalam bekas yang ;
o bersih, dan
o bertutup.
• Pastikan makanan sentiasa dipanaskan.
• Sediakan perkakas seperti senduk dan penyepit yang bersih dan mencukupi.
• Sediakan kemudahan pembuangan sisa makanan yang mencukupi.
PANDUAN UNTUK TETAMU
1. Amalkan konsep lihat, hidu dan rasa.
a) LIHAT
• Adakah terdapat tanda-tanda makanan telah rosak seperti ;
o berbuih, dan
o berlendir ?
• Adakah terdapat kesan hurungan serangga seperti telur lalat dan sebagainya ?
b) BAU
• Adakah makanan berbau ;
o pelik, atau
o tidak menyenangkan ?
c) RASA
• Adakah makanan tersebut terasa seperti ;
o basi,
o pelik, atau
o tidak menyenangkan ?
JIKA YA, jangan makan makanan itu dan maklumkan kepada tuan rumah atau penganjur majlis.
2. Basuh tangan sebelum makan.
3. Jangan sentuh makanan yang dihidangkan dengan tangan.
• Gunakan senduk / penyepit makanan yang disediakan.
