
Kanak-kanak adalah golongan yang paling berisiko untuk dijangkiti cacing. Manakan tidak, kanak-kanak mempunyai sistem imun yang lemah.
Mengapa kanak-kanak perlukan ubat cacing?
Malah, mereka juga berisiko mengalami jangkitan cacing terutamanya jika kerap bermain di luar rumah.
Dalam pada itu, anak juga boleh dijangkiti cacing sekiranya termakan makanan yang tercemar.
Jangkitan cacing boleh menyebabkan pelbagai masalah, antaranya:
Masalah pencernaan: Cacing boleh mengganggu proses pencernaan dan bertindak menyerap nutrisi penting dari makanan yang dimakan oleh kanak-kanak.Anemia: Beberapa jenis cacing, contohnya cacing gelang, boleh menyebabkan anak kehilangan darah yang banyak. Terbantut: Jangkitan cacing yang serius boleh menyebabkan pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak terjejas.
Sebab itulah, penting untuk kanak-kanak makan ubat cacing. Ia adalah sebagai satu bentuk pencegahan untuk pastikan anak membesar dengan sihat dan cergas.
Kesan selepas anak makan ubat cacing:
Sesetengah ibu bapa runsing akan kesan selepas anak makan ubat cacing. Kadangkala, ada anak-anak yang jatuh sakit, terkena demam panas atau rasa mual selepas makan ubat tersebut.
Bagaimanapun, ada beberapa kepentingan mengambil ubat cacing, terutamanya bagi kanak-kanak. Antaranya:
- Menghapuskan cacing dalam badan kanak-kanak: Pembasmian cacing dapat mengembalikan keseimbangan sistem pencernaan anak dan memperbaiki kesihatan mereka secara am.
- Memastikan anak sentiasa sihat dan bertenaga: Kanak-kanak yang bebas cacing dapat menyerap nutrisi daripada makanan dengan lebih baik. Secara tidak langsung, ia dapat membuatkan anak lebih sihat dan bertenaga.
- Menambah selera makan anak: Selalunya, kesan selepas anak makan ubat cacing adalah mereka berselera untuk makan kerana tidak lagi mengalami sebarang ketidakselesaan akibat jangkitan cacing.
- Mengurangkan risiko penyakit lain: Makan ubat cacing boleh mengurangkan risiko penyakit berkait penghadaman, misalnya cirit-birit dan sakit perut.