
Cirit birit merupakan satu masalah yang lazim dan berlaku kepada hampir semua orang.
Jika anda mempunyai masalah diarrhea, tinja akan menjadi berair dan cair. Pada masa yang sama, anda juga akan rasa sakit perut dan juga loya.Masalah ini bukanlah sesuatu yang serius, namun ia boleh menyebabkan komplikasi yang mendatangkan bahaya terhadap kesihatan.
Selalunya, diarrhea akan berlarutan selama 2-3 hari. Ia akan membuatkan anda rasa tidak selesa dan terlalu sakit untuk bekerja.Ada juga individu yang mengalami masalah ini lebih kerap daripada orang lain disebabkan penyakit tertentu, terutamanya bagi mereka yang menghidap sindrom usus rengsa (IBS).Diarrhea akan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa hari. Namun, jika ia tidak sembuh-sembuh, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin. Ini mungkin menandakan masalah yang lebih serius.
Jenis cirit-birit
Cirit-birit juga boleh dikategorikan kepada dua bahagian:
- Cirit-birit jangka pendek (akut). Ia berlaku selama 1-2 hari dan akan sembuh dengan sendirinya. Masalah ini mungkin berlaku disebabkan pengambilan makanan atau minuman yang dicemari bakteria.
- Cirit-birit jangka panjang (kronik). Ini merupakan jenis diarrhea yang serius dan berlarutan selama berminggu-minggu. Ia mungkin disebabkan penyakit tertentu atau jangkitan parasit.
Punca yang menyebabkan cirit-birit
- Keracunan makanan disebabkan bakteria.
- Jangkitan virus seperti flu, norovirus atau rotavirus. Rotavirus merupakan punca lazim cirit birit dalam kalangan kanak-kanak.
- Parasit, satu organisme kecil yang boleh ditemui di dalam air atau makanan.
- Pengambilan ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat kanser atau antasid.
- Intoleransi makanan atau sensitiviti.
- Penyakit yang mempengaruhi perut atau usus kecil seperti penyakit Crohn.
- Masalah usus besar seperti IBS.
- Baru lepas melalui pembedahan. Kadangkala, pembedahan boleh menyebabkan cirit-birit.
Kadangkala, cirit-birit boleh berlaku tanpa sebab. Jika ia hilang dalam beberapa hari, selalunya anda tidak perlukan rawatan susulan.
Simptom dan gejala
Apabila mengalami cirit-birit, anda mungkin akan mengalami sesetengah atau semua simptom di bawah:
- Tinja yang berair.
- Perut kembung
- Loya dan rasa nak muntah.
Jika anda mempunyai diarrhea yang teruk, anda akan alami simptom seperti:
- Demam.
- Penurunan berat badan.
- Rasa sakit yang teruk.
- Muntah-muntah.
Diarrhea yang teruk boleh menyebabkan pelbagai komplikasi. Jika anda mempunyai simtom ini, berjumpalah doktor secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan.
Cara rawatan yang terbaik
Antara rawatan yang mungkin diberikan oleh doktor ialah:
- Antibiotik. Ubat ini dapat merawat diarrhea yang berpunca daripada jangkitan bakteria atau parasit.
- Pemberian ubat untuk merawat penyakit tertentu. Diarrhea juga boleh menjadi tanda penyakit tertentu seperti IBS atau pertumbuhan ulser.
- Probiotik. Gabungan bakteria baik atau probiotik boleh digunakan untuk memastikan bakteria dalam perut dalam keadaan yang sihat. Walau bagaimanapun, bercakap dulu dengan doktor sebelum mengambil apa-apa jenis probiotik.